KUALA LUMPUR – Seramai hampir 300 pelajar tahun akhir daripada 13 universiti awam di Malaysia telah berjaya menamatkan program kebolehpasaran graduan peringkat nasional – Certified Professional Shariah Auditor (GE CPSA) 2020 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.

Antara universiti yang turut serta adalah daripada Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, UNIMAS, Universiti Malaysia Kelantan, UPSI, Universiti Malaysia Terengganu dan UITM.

Program ini mensasarkan pelajar tahun akhir dengan latar belakang Perbankan Islam,
Perakaunan, Matematik Komputer, Matematik Kewangan, Ekonomi Sumber Alam dan
Muamalat atau Syariah.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan serta melahirkan juruaudit
shariah yang terlatih dalam memenuhi keperluan industri terutamanya dalam aspek Kewangan Islam.

Program GE CPSA anjuran bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Islamic
Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM) ini mengandungi 6 modul yang dilaksanakan bermula 20 Julai 2020 dengan kaedah secara atas talian disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Selain itu, para peserta juga telah menghadiri sesi ulangkaji dan peperiksaan yang berakhir pada 29 Ogos 2020 di kampus USIM Nilai, Negeri Sembilan.

Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah selaku Ketua Kluster Accounting, Auditing and
Governance in Islamic Institutions (AAGII), Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) USIM
melahirkan rasa bangga kerana pelaksanaan program GE CPSA pada tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusuf berkata, pengiktirafan program CPSA sebagai salah satu daripada program yang diluluskan di bawah inisiatif kebolehpasaran graduan nasional membolehkan lebih ramai bakal graduan untuk menduduki program profesional itu.

Perkara ini selari dengan aspirasi untuk melahirkan lebih ramai juruaudit Shariah yang cekap dan terlatih bagi memenuhi keperluan industri terutamanya kewangan Islam. – MalaysiaGazette