Hamzah Zainuddin.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyasarkan untuk mencapai satu juta ahli menyertai parti itu akhir tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yakin pertambahan jumlah itu akan ‘diketuai’ oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang baharu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan ahli Bersatu ketika ini telah melebihi 500,000 orang.

“Kita sasar satu juta ahli akhir tahun ini yang diketuai Datuk Seri Azmin bersama rakan mereka yang telah masuk ke parti ini. Alhamdulillah, kalau ini yang kita dapat buktikan, jangan risau propaganda orang lain dan yang penting keikhlasan kita.

“Sebanyak 70 peratus dikatakan keluar parti tapi sehingga semalam hanya seramai 247 yang keluar parti.

“Daripada parti sangat kecil iaitu 46,000 pada 2017 dan naik sikit 54,000 orang serta hari ini ahli berdaftar lebih 500,000 di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-4 Bersatu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia malam ini.

Turut hadir, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta ahli MPT.

Baru-baru ini, bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk
Seri Mukhriz Mahathir mendakwa kira-kira 70 peratus ahli PPBM kini beralih arah untuk tidak lagi menyertai parti itu.

Katanya, beliau melihat perkara itu berdasarkan Mesyuarat Agung Tahunan parti pada November tahun lalu apabila ramai yang tidak bersetuju dengan usul mahu melantik bukan Melayu ke jawatan khas seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Beliau berkata, ketidakpuashatian mereka itu digambarkan apabila ada perwakilan yang hadir menjerit-jerit kerana tidak bersetuju dengan perkara yang tidak sewajarnya berlaku dalam Bersatu. – MalaysiaGazette