Abdul Rahim Bakri

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kesal dengan sikap tidak matang pemimpin politik yang terus-menerus mempolemikkan isu melibatkan Veveonah Mosibin.

Ini termasuklah tindakan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang mempertahankan dakwaan bahawa Veveonah menipu.

Tindakan sebegini boleh disifatkan sebagai buli siber dan sangat tidak matang apatah lagi melibatkan pertelingkahan seorang Timbalan Menteri melawan anak muda.

Susulan itu, Presiden PKPIM, Ahmad Farhan Rosli menggesa Ahli Parlimen Kudat merendah ego dan memohon maaf atas dakwaan yang dibuat serta wajar menunjukkan tauladan yang baik terutama dalam mengangkat komitmen kerajaan “tidak pasti jangan kongsi”.

”PKPIM berpandangan kerajaan kini haruslah berperanan sebagai listening government (kerajaan yang mendengar) dalam era “government know the best is over” (kerajaan semua tahu sudah berlalu),” katanya.

Kerajaan sewajarnya menyelami denyut nadi rakyat dan terbuka kepada kritikan membina demi kemajuan negara.

Artikel berkaitan: Salah info, netizen desak Zahidi letak jawatan

Zahidi dakwa peroleh maklumat mengenai Veveonah Mosibin daripada pihak ketiga

Junz Wong ambil kesempatan dari isu Veveonah – Wilfred

Veveonah hanya buat ‘drama’ untuk dapat perhatian – Rahim

Ahmad Farhan berkata, PKPIM sangat memahami kesulitan para pelajar dan para mahasiswa terutama ketika mengikuti proses pembelajaran atas talian disebabkan jaringan internet yang tidak stabil.

”Usaha mendapatkan segulung ijazah sangat sulit, di kala wujud segelintir pimpinan politik yang menipu Ijazah atau legitimasi kelulusan itu menjadi pertikaian masyarakat.

”Oleh itu, PKPIM berharap agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia terus fokus kepada usaha meningkatkan capaian internet terutama di kawasan pedalaman semenanjung dan Sabah/Sarawak.

“Ia sejajar dengan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai landasan kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G yang lebih mantap,” katanya. – MalaysiaGazette