Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin. foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Isu salah informasi mengenai pelajar, Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet masih belum selesai.

Selepas beberapa hari memohon maaf, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin hari ini mendedahkan bahawa maklumat yang diperolehinya itu diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abd. Rahim Bakri.

“Kita mendapat maklumat bahawa isu tersebut apabila kita rujuk dengan wakil rakyat kawasan iaitu di Kudat, di mana wakil rakyatnya adalah seorang Timbalan Menteri Kewangan dan dimaklumkan kepada saya bahawa Veveonah adalah seorang Youtuber dan hari tersebut tidak ada peperiksaan.

“Maklumat yang diperolehi oleh wakil rakyat kawasan itu adalah daripada pensyarah iaitu seorang profesor dan seorang doktor pensyarah kanan.

“Jadi dimaklumkan kepada Timbalan Menteri itu yang juga wakil rakyat. Jadi dalam isu tidak pasti jangan kongsi ini maklumat mana yang kita nak rujuk,” kata beliau dalam sidang media di Dewan Negara, hari ini.

Abd. Rahim merupakan Ahli Parlimen Kudat.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata dalam isu tersebut, dia tidak melihat apa perlunya Abd. Rahim yang kini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menipu ataupun memberikan maklumat tidak benar.

“Maka kita percaya pada maklumat tersebut,” katanya.

Khamis lalu, Zahidi memohon maaf dan mendakwa mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara mengenai pelajar Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet.

Zahidi dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini memohon maaf atas kesilapan itu dan akan membuat pembetulan pada sidang Dewan Negara pada Isnin.

“Saya mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan. Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti.

“Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam setiap bidang yang diceburi,” katanya. – MalaysiaGazette

Salah info, netizen desak Zahidi letak jawatan