Gambar hiasan

SATU penjelasan terperinci dapat diberikan oleh kerajaan mengenai penubuhan satu unit baru bagi melindungi alam sekitar dan sumber negara kita daripada pencemaran iaitu unit jenayah alam sekitar. Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Tuan Ibrahim Tuan Man baru- baru ini, satu unit jenayah alam sekitar akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi menangani kegiatan haram yang mengancam sumber alam negara. Penubuhan unit baru dilihat sebagai satu usaha tegas yang ingin diambil oleh pihak kerajaan bagi melindungi alam sekitar dan sumber alam dalam negara kita.

Namun, banyak soalan yang harus ditanya mengenai penubuhan unit baru ini terutamanya mengenai aspek fungsi dan peranan unit baru ini kelak. Soalan yang paling utama yang ingin ditanya ialah apakah perbezaan peranan yang bakal dimainkan oleh unit baru ini dengan agensi penguatkuasa alam sekitar sedia ada dalam negara kita seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS)? Di bawah agensi mana unit baru ini akan diletakkan kelak? Adalah terdapat sebarang percanggahan tugas di antara unit baru ini dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kelak? Kenapa tidak boleh diperkasakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedia ada sahaja? Untuk makluman, Jabatan Alam Sekitar (JAS) merupakan sebuah agensi utama dalam negara kita yang diletakkan dibawah Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) merupakan sebuah agensi kerajaan yang ditugaskan untuk memantau penguatkuasaan aktiviti berkaitan flora dan fauna dalam negara kita. Jabatan
Alam Sekitar (JAS) sudah lama wujud dalam negara kita serta sudah memiliki banyak pengalaman dalam soal melindungi alam sekitar dalam negara kita. Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada awalnya diwujudkan sebagai Bahagian Alam Sekitar di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar pada 15 April 1975. Bahagian Alam Sekitar kemudiannya ditempatkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada bulan Mac 1976.

Berdasarkan kepada kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, tanggal 1 September 1983, Bahagian Alam Sekitar telah dinaikkan taraf ke sebuah Jabatan sepenuhnya dan dikenali sebagai Jabatan Alam Sekitar Malaysia. Pada bulan Mac 2004 JAS dipindahkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Penubuhan Jabatan ini adalah berasaskan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang diwartakan pada bulan Mac 1974 dan dikuatkuasakan pada 15 April 1975. Peranan utama Jabatan Alam Sekitar (JAS) JAS adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal pencemaran dan memperbaiki alam sekeliling, selaras dengan segala peruntukan undang-undang yang ada di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)