Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berjalan keluar selepas mendengar keputusan permohonan 33 ADUN Sabah menggantung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pembubaran DUN oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 SEPTEMBER 2020

PUTRAJAYA – Sejurus selepas keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan mencabar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman terus keluar tanpa mahu bercakap dengan media.

Walaupun diasak berkali-kali oleh pemberita berhubung keputusan tersebut, Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga enggan melayan soalan-soalan tersebut.

Deangan riak wajah serius, beliau meminta wartawan menunggu kenyataan media daripadanya tanpa menyatakan bila ia akan dikeluarkan.

Wartawan: Minta komen Tan Sri tentang keputusan sebentar tadi. Adakah Tan Sri kecewa dengan keputusan ini?

Musa Aman: (Diam sebentar) Tunggu kenyataan media saya.

Wartawan: Tan Sri adakah anda yakin dengan PRN Sabah nanti?

Musa Aman: (senyum) Tunggu kenyataan media dari saya. Terima kasih.

Beliau kemudian menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna hitam.

Pada jam 4.45 petang tadi Mahkamah Rayuan menolak rayuan yang difailkan 33 bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mencabar kebenaran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diisytiharkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Susulan keputusan mahkamah itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR menetapkan) hari penamaan calon pada 12 September seperti yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette