Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Para penggiat sukan khususnya penganjur, peserta dan pegawai yang terlibat dalam acara sukan di semua peringkat sama ada liga profesional mahu pun perlawanan persahabatan atau permainan sosial diingatkan untuk tidak mengambil mudah pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.

Kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, ia termasuk langkah-langkah kawalan yang telah ditetapkan oleh MKN, KKM, KBS, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan dan mana-mana pihak berwajib.

“SOP termasuklah syarat larangan kehadiran penonton dan penyokong di mana-mana acara sukan yang perlu dipatuhi.

“Semua jenis penganjuran kejohanan acara sukan juga perlulah mendapat kebenaran penganjuran daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti penularan Covid 19 ini,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut Reezal Merican, yuran lesen penganjuran adalah percuma semasa PKPP.

“Justeru penganjur dan pengurus acara juga boleh merujuk kepada Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Persatuan Sukan masing-masing untuk panduan dan nasihat mengenai SOP-SOP berkaitan dan kesesuaian penganjuran,” tegasnya.-MalaysiaGazette