Papan tanda bagi memastikan penduduk mematuhi polisi yang diperkenalkan. foto Agensi

LONDON – Peraturan baharu lebih ketat bagi perhimpunan sosial di seluruh England diumumkan bagi membolehkan Perdana Menteri, Boris Johnson mengawal lonjakan dalam jangkitan Covid-19.

Mulai 14 September, kumpulan lebih daripada enam orang akan dilarang untuk bertemu dan didenda sekiranya mereka tidak mematuhi undang-undang, kata Johnson.

Jumlah kes di Britain mula meningkat semula dengan mendadak lagi dalam beberapa hari ini.

Walaupun ujian saringan lebih meluas dijalankan dan jumlah orang di hospital menurun, namun Kabinet Johnson takut kes jangkitan mula hilang kawalan.

””Kita perlu bertindak sekarang untuk menghentikan penyebaran virus.

“Oleh itu, kami perlu mengawal dan memperkukuhkan hubungan sosial – menjadikannya lebih mudah difahami dan untuk dikuatkuasakan oleh polis,” katanya.

Sebelum ini, had kumpulan bersosial yang dibenarkan adalah 30 orang.

Terdapat 2,460 jangkitan baharu yang dilaporkan pada hari Selasa, 2,948 pada hari Isnin dan 2,988 pada hari Ahad – kenaikan mendadak dari tahap sekitar 1,000 sehari pada bulan Ogos dan penularan yang tinggi dalam kalangan orang muda.

Peraturan baharu ini tidak akan berlaku di tempat kerja atau sekolah, dan akan ada pengecualian untuk majlis perkahwinan, pengebumian dan beberapa sukan berpasukan yang teratur.

Scotland, Wales dan Ireland Utara pula akan menetapkan polisi sekatan sendiri.

Walaupun begitu, ini merupakan langkah mundur dalam pemulihan Britain daripada pandemik yang menyebabkan lebih banyak kematian dan lebih banyak kerugian ekonomi di negara ini daripada yang berlaku di Eropah dan telah menimbulkan kritikan meluas terhadap kepemimpinan Johnson.

Keputusan itu akan membahayakan percubaan untuk meyakinkan orang yang ragu-ragu bahawa selamat untuk kembali ke tempat kerja – sesuatu yang dilakukan oleh Johnson dan menterinya pada minggu lalu dalam usaha untuk mengehadkan kerosakan ekonomi. – MalaysiaGazette