KUALA LUMPUR – Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) bersama kira-kira 200 penduduk Kampung Chubadak Tambahan menyerahkan memorandum menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) campur tangan dalam soal tanah atau rumah gantian.
Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihaknya cuba membantu penduduk terlibat susulan pihak pemaju hanya menawarkan pampasan RM8,000 untuk setiap keluarga dan sebuah unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) malah ia tidak memadai sedangkan mereka kehilangan tanah yang diusahakan sejak 60-an.
“Kami nak sampaikan memorandum ini kepada Yang Berhormat Tan Sri Annuar Musa di mana Tan Sri sendiri janji nak jumpa mereka ini (penduduk asal).
“Mungkin Tan Sri, tapi kami akan tunggu dan kalau boleh minta dipercepatkan sikit perjumpaan ini dengan penduduk Kg Chubadak ini,” katanya ketika ingin menyerahkan memorandum bantahan dan cadangan pemindahan kira-kira 190 penduduk asal Kg Chubadak Tambahan di lobi Menara 1, DBKL hari ini.
Bagaimanapun kira-kira 10 minit kemudian, Annuar tiba di lobi Menara 1 DBKL dan terus menemui Abdul Rani Kulup bersama wakil penduduk Kampung Chubadak Tambahan.
Sebelum menerima memorandum terbabit, Annuar sempat meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk mendengar sendiri luahan dan tuntutan yang dibawa oleh Jawatankuasa Halatuju Kampung Chubadak Tambahan di ruang menunggu bangunan DBKL itu.
Taklimat ringkas itu diberikan jurucakap penduduk terbabit yang juga Setiausaha Jawatankuasa Halatuju Kampung Chubadak Tambahan, Mohamad Asraf Hamzah bersama bendaharinya, Intan Nooraida Abdul Rahman.
Menurut Mohamad Asraf, setakat ini, tawaran pampasan berjumlah RM8,000 dan unit rumah PPR yang dijanjikan oleh pihak pemaju masih belum diterima, malah tidak setimpal dengan nilai tanah yang dibangunkan nenek moyang mereka sejak 1960-an.
“Kes ini pernah dibawa ke Mahkamah Tinggi pada 1998 di mana ia menyebelahi kita, mahkmah mengatakan penduduk adalah pemegang lesen, mempunyai ekuiti dan berhak terus tinggal di atas tersebut.
“Kita duduk di atas tanah tersebut dengan kebenaran pemerintah terdahulu. Kemudian pada tahun 2000 kes itu dibawa ke mahkamah rayuan dan mengatakan keputusan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf sehingga kini,” katanya.
Tuntutan utama penduduk Kampung Chubadak Tambahan ialah sebidang tanah diberikan pemilik secara sah bersama geran tanah sebagai gantian kepada tanah yang diusahakan selama ini.
“Kita juga ada meletakkan pilihan-pilihan lain jika tuntutan pertama tidak diterima, kita akan minta sebuah rumah gantian, bukan rumah PPR dan diberi milikan kepada kita.
“Nilai rumah gantian itu mestilah sebuah rumah apartmen berkeluasan 1,200 hingga 1,400 kaki persegi dengan pampasan sebanyak RM50,000 setiap keluarga.
“Sebaliknya sekarang kami hanya ditawarkan rumah PPR dengan pampasan sebanyak RM8,000 sahaja. Rumah PPR ini kita kena sewa selama 20 tahun, dan tiada jaminan selepas itu akan jadi hak milik kami,” katanya.
Sementara itu, Intan Nooraida mendakwa tuntutan mereka ini munasabah malah ada beberapa kes sama di tempat mendapat rumah gantian yang sama nilai sebelum ini.
“Kalau dulu Kg Haji Abdullah Hukum mendapat apartmen dengan belian RM40,000 sahaja, di Kerinchi pun dapat kondominium, kenapa kami di Kampung Chubadak tak boleh dapat tuntutan sama.
“Ini kerana semua itu adalah kampung-kampung lama, Kampung Chubadak Tambahan pun kampung lama juga. Jadi, apa bezanya dengan kampung-kampung yang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















