KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP hari ini bersetuju dengan cadangan kemas kini Garis Panduan dan prosedur standard operasi (SOP) Pilihan Raya yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Garis Panduan dan SOP Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini dan Slim akan digunapakai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sepanjang tempoh kempen, bilik gerakan dibenarkan beroperasi dengan syarat berdaftar dengan SPR.
Ceramah dibenarkan sewaktu tempoh kempen tetapi perlu memastikan penjarakan fizikal terjaga dan mengikut kapasiti tempat.
Menurutnya, pada hari mengundi, SOP akan digunapakai seperti saringan suhu badan dan kawalan kehadiran pengundi untuk memastikan penjarakan fizikal terpelihara.
”Bagi pengundi yang bergejala seperti suhu melebihi 37.5 darjah Celsius, batuk, sakit tekak atau sesak nafas, mereka akan diasingkan daripada pengundi-pengundi lain dan akan mengundi di khemah khas.
”Pengundi yang berstatus positif Covid-19 tidak akan dibenarkan untuk keluar hospital untuk mengundi kerana berisiko untuk menjangkiti orang ramai,” katanya pada sidang media di sini.
Manakala pengundi yang berstatus pesakit di bawah siasatan dan individu yang dipantau yang berhasrat untuk mengundi perlu memohon kebenaran terlebih dahulu dari Pegawai Kesihatan Daerah,” ujarnya. – MalaysiaGazette