Reezal Merican Naina Merican

PUTRAJAYA – Keputusan sama ada skuad Piala Thomas dan Uber negara menarik diri daripada saingan kejohanan itu di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini akan diketahui dalam masa beberapa hari lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ketika ini, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria telah berhubung dengan Badminton Dunia (BWF) untuk memantau tahap keselamatan di sana walaupun  Denmark dikategorikan sebagai salah satu negara hijau dalam penularan Covid-19.

Jelas beliau, ini kerana pihaknya mahu memastikan tahap keselamatan pemain dan pegawai mengikut prosedur operasi standard (SOP) tinggi termasuk melibatkan isu logistik dan pergerakan ke hotel.

“Semalam, saya dimaklumkan BAM telah berjumpa wakil BMW untuk mengemukakan cadangan-cadangan SOP yang perlu diambil oleh Denmark.

“Ia termasuk isu-isu logistik dan pergerakan pemain dan pegawai ke hotel walaupun Denmark dikategorikan negara hijau,” katanya selepas Majlis Penyerahan Felo Korporat 2020 di kementeriannya hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau diminta mengulas keputusan Taiwan dan Thailad yang mengesahkan penarikan diri daripada kejohanan Piala Thomas dan Uber akibat Covid-19.

Australia pula menarik diri daripada Piala Uber.

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz (kanan) pada Majlis Penyerahan Felo Korporat 2020 di Dewan Serbaguna, Menara KBS, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2020

Reezal menambah, keputusan Malaysia untuk menarik diri turut bergantung kepada tindakan Indonesia yang dijangka membuat keputusan penarikan diri eso

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi, Indonesia yang merupakan juara 13 kali, selain Belanda dan England pada kejohanan Piala Thomas yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 11 Oktober di Aarhus, Denmark.

Skuad wanita negara pula berdepan tugas sukar apabila diundi dalam Kumpulan B, bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Malaysia pernah memenangi Piala Thomas sebanyak lima kali – 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992, manakala skuad wanita masih belum meraih sebarang kejuaraan pada saingan Piala Uber sejak diperkenalkan pada 1957 di England. – MalaysiaGazette