Dr. Muhammad Faiz Na'aman

KUALA LUMPUR – Pendirian Pas berlapang dada apabila tidak ada wakil calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah wajar dipuji.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, sikap presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan laluan kepada rakan-rakan bagi memastikan pertandingan dua penjuru adalah berjiwa besar.

“Rakyat mengharap agar PN (Perikatan Nasional) dapat menjadi contoh dalam toleransi kuasa politik atas kepentingan dan agenda bersama bagi mentadbir negara ini. Kunci di sini ialah diplomasi dan perkongsian berdasarkan realiti sosio-politik tempatan agar semua pihak merasakan semangat ‘kebersamaan’.

“Sesungguhnya simbol atau bendera yang dijunjung oleh Pas, Bersatu, STAR dan PBS untuk PRN Sabah adalah satu iaitu PN,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Menurut Muhammad Faiz, kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki bahawa secara tersiratnya Pas bagaikan tetap bertanding di Sabah iaitu melalui PN adalah benar.

“Maka diharap rakan-rakan komponen lain dalam PN terus berusaha mengukuhkan lagi kesefahaman, permuafakatan, kerjasama, perkongsian, toleransi dan saling hormat-menghormati antara kita semua agar sasaran untuk membebaskan Sabah dari proksi DAP serta pihak yang berfikiran kenegerian sempit dapat dicapai in sya Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN Sabah: Pas beri laluan demi muafakat – Hadi Awang