Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

SEMPORNA – Warisan Plus hanya menawarkan satu nama untuk calon Ketua Menteri Sabah jika gabungan parti itu menang dalam pilihan raya negeri kelak.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal berkata, hanya namanya dicalonkan untuk jawatan tersbut berbanding pembangkang yang masih tidak sehaluan dalam hal tersebut.

“Kita sudah lakukannya dengan menawarkan cuma satu calon daripada pihak kita.

“Sama ada daripada DAP, Amanah dan PKR cuma satu calon iaitu Presiden Warisan,” katanya dalam sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Masyarakat Semporna, hari ini.

Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, DAP, PKR dan Amanah menerima kerusi masing-masing dalam PRN kali ini.

Dalam pada itu, Shafie berkata pendirian itu tidak seperti pembangkang yang masih belum memuktamadkan calon Ketua Menteri mereka.

“Kita berharap tapi ia tidak jelas di pihak mereka. Itu jelas bahawa pembangkang berbelah bahagi mengenai calon mereka,” katanya lagi.

Ditanya mengenai bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang tidak mengemukakan borang pencalonannya hari ini, Shafie berkata dirinya tidak terkejut dengan perkembangan itu.

Beliau berkata apa-apa kemungkinan boleh berlaku dalam pilihan raya kali ini.

“Saya tidak terkejut (ketidakhadiran Musa Aman). Apa pun boleh berlaku sebab saya sudah lama tidak berjumpa dengan beliau sejak PRU14.

“Saya fikir dia pun tidak turun kawasan, apa niat beliau sebenarnya. Terdapat semacam perselisihan mengenai pembahagian kerusi di antara mereka. Apa pun, sama ada dia suka atau tidak, tetapi kita percaya bahawa kita masih harus memenangi pilihan raya ini,” katanya lagi.

Sehingga jam 10 pagi tadi, Musa Aman tidak kelihatan di mana-mana pusat penamaan calon.

Ini termasuk di dewan serbaguna Libaran, yang menjadi pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, iaitu kerusi yang disandangnya sejak 1994. – MalaysiaGazette