Calon N.16 Karambunai (dari kiri) Calon Parti Cinta Sabah (PCS), Dayangku Ayesha Humaira Othman Shah, Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yakubah Khan, Calon Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Seri Marajoh Unding, Calon Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Ibrahim Linggam, Calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Nerudin Ludah dan Calon Warisan, Ahmad Jais Otong bergambar kenangan pada hari penamaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakubah Khan antara calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Karambunai.

Beliau akan berentap dengan lima lagi calon lain iaitu daripada Parti Warisan Sabah (Ahmad Jais Otong), Parti Cinta Sabah (PCS) yang mengemukakan calon wanita termuda, Dayangku Ayesha Humaira Othman Shah, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Ibrahim Linggam, Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) Nerudin Ludah dan akhir sekali Parti Liberal Demokratik (LDP),Datuk Seri Marajoh Unding.

Pengumuman berkenaan dibuat Pengurus Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN  berkenaan, Thomas Logijin sejurus proses penamaan selesai.

Katanya, pusat-pusat mengundi akan dimaklumkan dan dipamerkan di pusat-pusat pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Karambunai merupakan salah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Sepanggar.

DUN berkenaan mempunyai 19,560 pengundi.

Sebanyak 73 DUN akan dipertandingkan pada hari mengundi pada 26 September nanti.

Kerusi DUN ini disandang oleh Azhar Matussin dari Warisan yang mengalahkan calon BN, Pas dan  Parti Maju Sabah (SAPP) pada pilihan raya 2018.

PRN Sabah diadakan selepas Datuk Seri Shafie Apdal membubarkan DUN pada 30 Julai yang lalu, susulan krisis politik yang tercetus di negeri itu apabila bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri. – MalaysiaGazette