Ronaldo dan Georgina.

LONDON – Cristiano Ronaldo membuktikan cinta yang mendalam buat tunangnya apabila bintang bola sepak dunia membeli cincin mahal untuk dihadiahkan kepada Georgina Rodriguez.

Bintang Juventus itu dilaporkan membeli cincin berlian itu pada harga 615,000 pound (RM3.27 juta) sebagai cincin pertunangan mereka.

Ronaldo dan Georgina ketika ini memiliki seorang anak perempuan berusia dua tahun, Alana selain menjaga tiga lagi iaitu pasangan kembar, Eva dan Mateo berusia tiga tahun serta Cristiano Jr, berusia 10 tahun.

Pasangan terkenal itu pertama kali bertemu pada tahun 2016 namun belum mendaftarkan perkahwinan sehingga sekarang.

Sementara itu, portal GamblingDeals turut menyenaraikan cincin pertunangan termahal membabitkan antara bintang bola sepak dan penjaga gol England, Jordan Pickford berada di tempat kedua dengan nilai 500,000 pound (RM2.66 juta) untuk isterinya, Megan Davison.

Ashley Cole di tempat ketiga dengan cincin bernilai 275,000 pound (RM1.46 juta) untuk bekas isterinya, Cheryl.

Namun, bintang England, Harry Kane hanya pada kedudukan ke-10 dengan cincin bernilai 180,000 pound (RM957,000) untuk isterinya, Katie Goodland. – MalaysiaGazette