Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa diminta menyiasat terlebih dahulu laporan sebuah agensi berita antarabangsa, mengenai sebuah syarikat yang mempunyai kaitan tentera dan perisikan di China yang didakwa mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran berhubung laporan itu tidak jelas, dan siasatan perlu dilakukan sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kadang-kadang kita dengar berita banyak tidak jelas kebenarannya, jadi saya minta perkara ini disiasat dahulu.

“Data peribadi sepatutnya dilindungi, sebab kita ada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di mana data peribadi setiap individu dalam negara (rakyat Malaysia) dilindungi, jadi kalau ada kes seperti ini kita harap pihak berkuasa berkaitan siasat, lepas itu barulah kita boleh ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kad Aku Janji Pematuhan Prosedur Operasi Standard COVID-19 sempena Kempen Bulan Kemerdekaan Perbadanan Nasional di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan sebuah agensi berita antarabangsa bahawa, sebuah syarikat China yang mempunyai kaitan dengan tentera dan rangkaian perisikan di China, dilaporkan mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia.

Berdasarkan laporan tersebut jumlah itu adalah antara data 250,000 individu yang bocor daripada pangkalan data Zhenhua Data, yang menyimpan maklumat 2.4 juta orang.

Terdahulu pada majlis itu, Ismail Sabri menerima kad ‘Aku Janji’ mematuhi SOP daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Mohammad Mentek.

Kad ‘Aku Janji’ tersebut telah ditandatangani 1,040 penggiat francais tempatan, guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kampung Kerinchi dan warga kerja Perbadanan Nasional.- BERNAMA