Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama calon BN N.43 Kemabong, Datuk Raime Unggi (kiri) bersorak semangat ketika mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Enubai sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Kampung Labut, Tenom, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2020.

TENOM- Parti Warisan Sabah (Warisan)  ‘bermain silap mata’ apabila mengatakan pihaknya bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) setelah gagal menjadi kerajaan yang bertanggungjawab.

Kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, Warisan bukan sahaja bertanggungjawab mendokong penubuhan kerajaan dengan menyokong PH pada PRU-14 malah telah mengecewakan rakyat Sabah kerana gagal menjadi kerajaan negeri yang baik.

“Dua tahun di bawah PH, Warisan tidak boleh kata bukan sebahagian PH kerana PH ditubuhkan atas dokongan Warisan tapi pandai ‘main silap mata’.

“Maka saya nak katakan PH adalah sebuah kerajaan gagal mentadbir diberi peluang rakyat Malaysia dan rakyat Sabah dengan janji-janji berjanji hingga bulan dan bintang nak janji semua percuma sehingga rakyat Sabah terpesona,” katanya kepada pengundi di Markas PDM Enubai hari ini.

Warisan, katanya, bukan sahaja gagal membawa pembangunan malah Timbalan Presiden UMNO parti itu juga mendakwanya gagal meningkatkan prestasi ekonomi Sabah dan taraf kehidupan rakyat.

“Tetapi apa yang terjadi dua tahun mereka mentadbir rakyat semakin menderita. Ekonomi negara kita gagal, daripada negara yang begitu bagus diurus baik di bawah kerajaan di bawah Datuk Seri Najib Razak.

“Sabah tujuh tahun berturut turut ekonomi berturut sehingga berkembang melebihi paras pertumbuhan ekonomi negara,” tambahnya.

Bagi Mohammad, sepatutnya Sabah tidak jatuh ke tangan Warisan kerana Barisan Nasiobal (BN) yang memenangi pilihan raya sebelum ini namun parti yang diterajui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu bertindak secara tidak demokratik.

“Kita Malaysia dan Sabah menderita sehingga Sabah dibubarkan sebab mereka (Warisan) takut walaupun terbubar secara tidak demokratik. Sabah sepatutnya tidak jatuh ke tangan Warisan kerana BN menang pada PRU  sebelum ini,” katanya lagi.

Justeru pada PRN kali ini tambahnya, BN mahu menjadi kembali mentadbir di Sabah dan mengembalikan kestabilan ekonomi negeri itu.

“Kita hendak autonomi Sabah diberikan kepada kita supaya dapat mentadbir Sabah,” ujarnya.-MalaysiaGazette