Calon Perikatan Nasional DUN Bugaya N.66, Ahmad Daud Tampakong dan Calon Bersatu DUN Senallang N.65, Norazman Utoh Nain beramah mesra bersama penduduk ketika hadir ke program Bicara Mesra calon DUN Senallang sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Markas Utama PN Senallang, Kampung Sinallang, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2020.

SEMPORNA – Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya mencatat rekod tersendiri apabila menyaksikan pertandingan antara ahli keluarga terdekat.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Daud Tampokong berkata, calon daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Manis Muka Mohd Darah dan calon Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Jihek Basanu ada hubungan kekeluargaan dengan beliau.

“Manis Muka kakak sepupu saya, Datuk Jihek Basanu itu abang sepupu saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Calon Perikatan Nasional DUN Bugaya N.66, Ahmad Daud Tampakong bercakap kepada media selepas program Bicara Mesra calon DUN Senallang sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Markas Utama PN Senallang, Kampung Sinallang, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2020.

Ulas Daud lagi, biarpun mendapat tentangan daripada ahli keluarga sendiri namun itu tidak boleh menggugat tali persaudaraan yang ada pada ketiga-tiga mereka.

“Kita terangkan kepada pengundi bahawa perbezaan politik ini tidak seharusnya menggugat tali persaudaraan antara kami.

“Kita sendiri tekanan kepada keluarga sebaik habis sahaja PRN ini yang diadakan lima tahun sekali. Cumanya kali ini agak istimewa dan tidak seharusnya ideologi politik yang berbeza itu kita putuskan tali silaturrahim,” katanya lagi.

Bagaimanapun, empat lagi calon lain tidak diperincikan oleh calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

DUN Bugaya menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara penyandang Manis Muka dengan calon USNO, Parti Cinta Sabah (PCS), Perikatan Nasional (PN), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) serta dua calon bebas.

USNO diwakili Ahmad Kenajaan, PCS oleh Jihek Basanu, Taraji Jamdi mewakili PPRS, Mohd Daud mewakili PN dan dua calon bebas iaitu Rasidan Abd Latiff akan menggunakan simbol kunci manakala Abdul Jan Muammil @ Abdul Jim menggunakan simbol ikan. – MalaysiaGazette