Gambar Hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Para pelajar yang perlu ke luar negara untuk menyambung pelajaran atau mendaftar sebagai pelajar baharu tidak perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Mereka perlu menunjukkan kad pelajar dan penuntut baharu hanya menunjukkan surat tawaran sahaja.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya ibu bapa sahaja dibenarkan untuk menjadi pengiring kepada anak-anak mereka itu.

“Tidak boleh satu keluarga seperti dulu, terus bercuti. Tidak boleh,” katanya pada sidang media di sini.

Ibu bapa yang pulang ke Malaysia selepas itu perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Pada perkembangan sama, Ismail berkata, dari 24 Julai sehingga 14 September 2020, seramai 29,054 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, seramai 10,414 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 75 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Sebanyak 71 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 18,569 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang ke rumah. – MalaysiaGazette