Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu Covid-19 di Kunak, Sabah.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memberitahu, kluster baharu itu timbul berikutan jangkitan daripada seorang wanita warga emas berusia 68 tahun dari kes ke 9,940.

Katanya, warga emas itu ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya dan telah dibawa ke Hospital Kunak sebelum dirujuk ke Hospital Tawau bagi rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati.

“Saringan Covid-19 yang dilakukan keatasnya mendapati beliau positif pada 13 September lalu. Beliau kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, lapan lagi kes positif Covid-19 telah dikesan dengan kesemua mereka merupakan ahli keluarga kes indeks,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Menurut Noor Hisham lagi, sehingga ke hari ini, seramai 128 individu telah disaring dalam kluster tersebut yang terdiri daripada 109 warganegara manakala 19 lagi bukan warganegara.

Daripada jumlah itu, sembilan kes dikesan positif, 18 didapati negatif dan 101 lagi masih menunggu keputusan, katanya.

Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan
pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti.

Punca jangkitan masih di dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster tersebut giat dijalankan di lapangan.

Sementara itu, Noor Hisham juga memaklumkan terdapat empat kes baharu dikesan bagi Kluster Benteng Lahad Datu hari ini.

Katanya, sejumlah 6,610 individu telah disaring dari kluster berkenaan dengan 1,531 saringan dilakukan di Lahad Datu dan 5,079 di Tawau.

Tambahnya, saringan dilakukan ke atas banduan, kakitangan Ibu Pejabat Daerah Lahad Datu dan Penjara Tawau, pegawai agensi kerajaan serta kontak sosial yang turut dikesan positif Covid-19. – MalaysiaGazette