Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Abd Ghani Hassan.

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mengumumkan pindaan jadual perlawanan CIMB Liga Super di antara Kedah menentang Sabah pada 19 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan pihaknya menerima permohonan daripada pasukan Kedah berhubung pindaan tarikh dan venue tersebut.

Jelas beliau, Stadium Darul Aman, Alor Setar yang terletak di dalam Daerah Kota Setar telah diisytihar untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya,, keputusan pindaan tarikh dan venue itu diambil selaras daripada keputusan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan PKPD Daerah Kota Setar yang berkuatkuasa pada 11 September lalu hingga 25 September ini.

“Dimaklumkan bahawa MFL telah menerima permohonan rasmi dari pasukan Kedah mengenai permohonan pindaan tarikh dan venue bagi perlawanan tersebut kerana Stadium Darul Aman, Alor Setar terletak di dalam Daerah Kota Setar yang telah diisytihar untuk pelaksanaan PKPD (Pentadbiran).

“Oleh demikian, pihak MFL telah memutuskan untuk meminda tarikh dan venue bagi perlawanan tersebut di mana tarikh 19 September ini dan venue di Stadium Darul Aman, Alor Setar telah dipinda ke tarikh 21 September ini dan venue di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras selepas mendapat persetujuan bersama daripada kedua-dua pasukan.

“Pindaan perlawanan tersebut juga dipinda setelah mengambil kira segala aspek seperti penyiar rasmi, komersil MFL serta pihak media.

“Pindaan ini tidak melibatkan perlawanan-perlawanan lain seperti yang telah dijadualkan di mana jadual perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 telah dikemaskini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani tidak melepaskan peluang memuji respons positif pasukan Sabah yang menerima pindaan tarikh dan venue ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan Sabah di atas semangat setiakawan dan memahami detik sukar yang dialami oleh pasukan Kedah.

“Inilah satu contoh yang cukup baik kepada Liga Malaysia dan saya berharap semua pasukan dapat bersatu dalam usaha membasmi pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette