Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR-  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) terus terpelihara.

Katanya, bukan sekadar mewujudkan portfolio khas mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, jemaah Menteri semasa mesyuarat pada 9 September lalu turut bersetuju untuk menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan beliau sendiri.

Majlis Khas itu turut dianggotai oleh Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah, Menteri-Menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain yang akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.

Jelasnya, majlis khas tersebut akan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Antaranya ialah kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai Rakan Sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Intergovernmental Committee, keselamatan negeri dan pendidikan.

Majlis Khas itu akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang telah ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu yang berkaitan.

“Saya berharap agar penubuhan Majlis Khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Yang penting ialah usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak malam ini.

Tambah Muhyiddin, banyak isu yang dianggap sukar mampu diselesaikan dengan baik apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sehaluan.

Beliau mengambil contoh isu Petronas dengan kerajaan Negeri Sarawak yang akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik, baru-baru ini.

“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan saya kepada kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan sahabat baik saya YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg yang telah berunding dengan Petronas untuk mencapai kata sepakat mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak.

“Alhamdulillah, isu ini telah berjaya diselesaikan dengan beberapa perincian yang sedang dibincang oleh kedua-dua pihak. Saya percaya apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sehaluan, yang untung ialah rakyat.

“InsyaAllah, rundingan dengan Sabah akan kita mulakan selepas Pilihanraya Negeri Sabah selesai, Insya-Allah,” katanya lagi.-MalaysiaGazette