Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Sejumlah 1.93 juta rakyat Sabah dan Sarawak mendapat manfaat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bernilai lebih RM2.1 bilion.

Manakala hampir 100,000 perniagaan di kedua-dua negeri itu termasuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana telah menerima faedah bernilai RM1.4 bilion melalui saluran seperti Subsidi Upah Pekerja, Geran Khas Prihatin, serta pinjaman mikro TEKUN dan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk PKS mikro.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pelbagai agensi-agensi kerajaan  berjaya mengharungi cabaran dari segi logistik berkenaan penyaluran dana, serta pengemaskinian data penerima untuk memastikan warga Sabah dan Sarawak yang layak akan menerima bantuan.

Agensi-agensi terbabit  termasuk Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMSabah) dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak (PMSarawak), serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) di kedua-dua negeri.

Agensi-agensi ini memainkan peranan penting di dalam pemerosesan permohonan dan penyaluran inisiatif seperti Bantuan Prihatin Nasional kepada golongan B40 dan M40; Fasa kedua dan ketiga Bantuan Sara Hidup 2020; Geran Khas Prihatin kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro; Subsidi Upah Pekerja, serta Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) di Negeri Sarawak.

Kementerian bekerjasama dengan agensi-agensi tersebut, dengan sokongan
pelbagai badan lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan
Malaysia (RELA), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pejabat Pembangunan
Persekutuan Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Pejabat-pejabat Residen/ Daerah/
Daerah Kecil, Jabatan Perbendaharaan Negeri Sabah, Unit Perancang Ekonomi dan
Jabatan Ketua Menteri kedua-dua negeri.

Ini bagi memastikan bantuan dan inisiatif kerajaan dapat disalurkan dengan cepat dan tepat kepada pihak-pihak yang memerlukan di serata Sabah dan Sarawak, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang sukar diakses secara fizikal.

Sebagai contoh, PMSabah bersama LHDNM, BSN dan Pejabat Daerah Sabah telah melaksanakan penyerahan BSH/BPN di 13 lokasi pedalaman yang tidak mempunyai cawangan BSN melibatkan 2,845 penerima yang tidak memiliki akaun bank antara 1 julai hingga 10 Ogos 2020.

PM Sabah adalah selaku Urusetia Bantuan Sara Hidup (BSH/BPN) di negeri itu.

Di Sarawak pula, PMSarawak telah memasuki 30 lokasi pedalaman untuk menyampaikan bayaran BPN dan BSH melibatkan 41,995 penerima yang tidak memiliki akaun bank antara 1 hingga 30 Julai yang lalu bagi tujuan ini.

Seramai 20,901 penerima telah hadir untuk menerima bantuan tunai tersebut dalam tempoh.

Tengku Zafrul berkata, bagi yang masih belum menerima bantuan di kedua-dua negeri, mereka boleh hadir di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional sebelum 31 Disember 2020.

Menurutnya, kerajaan memberi jaminan bahawa penambahbaikan pelaksanaan dan saluran bantuan kepada rakyat sentiasa diberikan penekanan.

“Usaha kerajaan akan merangkumi bukan sahaja dari segi merapatkan jurang digital, tetapi juga penambahbaikan infrastruktur fizikal antara kawasan bandar dan pedalaman di kedua-dua negeri, sejajar dengan empat tema utama Belanjawan 2021 iaitu menjaga kebajikan rakyat; memacu pertumbuhan ekonomi; melestarikan kehidupan; dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

“Bagi tujuan tersebut, kementerian juga telah menganjurkan Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021 di Kuching pada 17 September 2020, di mana Kementerian Kewangan telah turun padang dan berjumpa dengan pihak berkepentingan pelbagai industri, bagi mendapatkan maklumbalas mengenai pakej-pakej rangsangan ekonomi dan juga cadangan untuk Belanjawan 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini sempena lawatan rasmi kementerian bagi mendapatkan maklum balas tentang proses pelaksanaan pakej-pakej ransangan ekonomi Prihatin dan Penjana.

Di Sarawak, kata Tengku Zafrul, Kementerian Kewangan telah mengadakan sesi dialog dengan wakil-wakil industri, termasuk industri minyak dan gas, komoditi-agro, pelancongan dan perniagaan.

Perbincangan bersama wakil-wakil industri yang hadir telah merangkumi keperluan dasar dinamik, sokongan sumber dan kerjasama yang boleh dijalin bagi melonjakkan negeri Sarawak dalam Belanjawan 2021, ekoran terkesannya industri-industri tersebut akibat penularan wabak Covid-19 pada tahun ini.

Tambahnya, Kementerian Kewangan juga telah menerima pelbagai pandangan dan cadangan penyelesaian dari wakil-wakil industri dan agensi yang terlibat, dan akan memperhalusi cadangan-cadangan tersebut bagi tujuan Belanjawan 2021 kelak. – MalaysiaGazette