JAKARTA- Lapan penduduk di wilayah Gresik diarahkan pihak berkuasa tempatan untuk menggali kubur pesakit Covid-19 sebagai hukuman kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Ketua Daerah Cerme, Suyono berkata, sekumpulan lelaki berkenaan diarahkan untuk menggali kubur di tanah perkuburan awam di kampung Ngabetan.
“Pada ketika itu, hanya tiga penggali kubur sahaja yang ada, jadi saya rasa, lebih baik kita minta mereka (pesalah-pesalah tersebut) untuk bekerja,” katanya seperti yang dipetik oleh tribunnews.com.
Tambah Suyono, pihak berkuasa tempatan telah memastikan pesalah protokol kesihatan tidak terlibat dalam proses pengebumian.
Bagi membantu para penggali kubur, Suyono mengarahkan dua pesalah untuk membantu di setiap kubur.
Seorang ditugaskan untuk menggali tanah manakala seorang lagi meletakkan papan di dalam kubur.
“Diharapkan hukuman sebegini dapat memberi kesan yang berbeza kepada orang ramai yang melanggar peraturan,” katanya.
Tambah Suyono, jumlah kes Covid-19 di Cerme semakin meningkat menyebabkan pentadbiran kampung terpaksa mengetatkan peraturan di kawasan berkenaan.
Untuk rekod, mengikut Undang-Undang Wilayah No.22/2020, penduduk yang melanggar peraturan boleh dikenakan denda atau khidmat komuniti sebagai hukuman.- MalaysiaGazette