KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 19,010 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16.

Malah setiap pengundi pos diingatkan supaya tidak sesekali membocorkan kerahsiaan kertas undi pos seperti bertindak mengambil gambar dan menularkan dalam media sosial.

Setiausahanya SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos bermula dari 14 sehingga 16 September ilalu dan telah dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua 73 kawasan DUN.

“Kesemua 19,010 undi pos tersebut terdiri daripada 17,257 kategori Borang 1A (petugas pilihan raya), 81 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara, 78 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 1,594 kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan).

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ikmalrudin, SPR juga telah menjemput pemerhati-pemerhati yang telah dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos tersebut.

Menurutnya, proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRU DUN Sabah Ke-16 ini telah disiarkan secara live streaming di Facebook SPR bagi tujuan untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya.

SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang pengisytiharan identiti (Borang 2) yang disertakan, serta segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5.00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 26 September 2020 (Sabtu).

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” tegas beliau.-MalaysiaGazette