Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir 
Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir 

KUALA LUMPUR – Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melancarkan portal berbahasa Mandarin dilihat tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang membidas tindakan SPRM itu berkata, Artikel 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan dalam urusan rasmi kerajaan.

Berikutan itu, Armada mendesak agar pihak SPRM mengkaji semula portal bahasa Mandarin itu agar ia selari dengan agenda berterusan memikul tanggungjawab moral kebangsaan memartabatkan bahasa Melayu sebagai pengikat perpaduan.

Katanya, sebagai salah sebuah institusi kerajaan, SPRM sewajarnya mengutamakan bahasa Melayu dalam segenap urusannya, termasuklah dalam urusan komunikasi dengan orang awam.

Walaupun Seksyen 3 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang digubal 57 tahun lalu membenarkan terjemahan dibuat kepada dokumen serta perutusan rasmi, adalah menyedihkan apabila sebuah institusi kerajaan seperti SPRM masih terpaksa menggunakan bahasa Mandarin dalam urusan komunikasinya selepas 63 tahun negara mencapai kemerdekaan.

”Adakah setelah 63 tahun Merdeka, masih lemah penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat sehingga portal kerajaan perlu menterjemah kepada Bahasa Mandarin?

”Atas alasan kononnya demi meningkatkan keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina ke atas SPRM sepertimana kenyataan rasmi mereka. Jika mengambil kira keperluan memahamkan berbilang kaum seperti diperjelas SPRM, adakah terjemahan untuk kaum Cina semata, bagaimana pula kepentingan masyarakat Tamil sebegitu etnik Sabah dan Sarawak?,” soal Ashraf.

Tegasnya, menilai daripada pernyataan rasmi SPRM, cukuplah bahasa Melayu diperkasakan sepertimana peranannya atas tujuan rasmi.

“Tatkala pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai jambatan untuk memupuk perpaduan antara kaum di Malaysia, SPRM pula bertindak sebaliknya.

“Melainkan sekiranya kewujudan portal ini melibatkan kepentingan urusan dengan pelayar dari negara China, sebegitu kepentingan menterjemah dalam bahasa Inggeris atas tujuan pengantarabangsaan,” ujarnya.

Beliau turut berpandangan, perlu sinergi antara agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memantau serta menasihati peranan badan kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. – MalaysiaGazette