TAIPEI- Pasukan tentera Taiwan terpaksa mengusir jet-jet milik China selama dua hari berturut-turut apabila pelbagai jenis pesawat milik negara tembok besar itu menghampiri kawasannya serta melintasi garisan tengah yang sensitif di Teluk Taiwan.

Kerajaan Taiwan juga memberi amaran supaya Beijing menghentikan tindakan tersebut.

Menteri Pertahanannya berkata, 19 buah pesawat China telah diusir daripada ruang udara mereka, meningkat berbanding semalam

Katanya, terdapat pesawat-pesawat yang melintasi garisan tengah Teluk Taiwan manakala beberapa lagi pesawat terbang di zon identifikasi pertahanan udara Taiwan di pesisir barat daya.

Katanya, China telah menghantar 12 buah pesawat pejuang J-16; dua buah J-20; dua buah J-11; dua buah pesawat pengebom H-6 dan sebuah pesawat anti-kapal selam Y-8.

Mengikut peta yang disediakan oleh kementerian, tiada pesawat yang betul-betul menghampiri tanah besar Taiwan atau terbang melintasinya.

“ROCAF telah mengusir pesawat-pesawat tersebut serta menggerakkan sistem pertahanan peluru berpandu udara untuk memantau sebarang aktiviti,” kata Kementerian Pertahanan dalam ciapannya.

ROCAF atau Tentera Udara Republik China merupakan nama rasmi bagi angkatan tentera udara Taiwan.

Jumaat lalu, China mengumumkan latihan peperangan berhampiran Teluk Taiwan dan mengecam kerjasama di antara Taiwan dengan Amerika Syarikat.

Sehari sebelum itu, Timbalan Setiausaha bagi Hal Ehwal Ekonomi AS, Keith Krach tiba di Taipei bagi mengadakan lawatan selama tiga hari.

Lawatan pegawai paling kanan di Kementerian Luar AS ke Taiwan dalam tempoh empat dekad itu menimbulkan kemarahan China. – Agensi