Datuk Hajiji Noor

TUARAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor menolak dakwaan beliau akan dikawal oleh Tan Sri Musa Aman.

Tegasnya, tidak ada siapa yang boleh mengawal beliau sekiranya menjadi Ketua Menteri Sabah.

“Itu tidak betul. Saya sudah dewasa. Saya sudah lama dalam politik tidak ada satu orang pun yang boleh kawal apa yang tersirat dan apa perancangan saya.

“Jadi tuduhan Datuk Shafie saya anggap tidak betul,” katanya kepada pemberita di Program  Perjumpaan Bersama Ketua Pimpinan Badan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat Daerah Mengundi Kg Kindu hari ini.

Hajiji yang merupakan calon PN DUN Sulaman turut menempelak Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal kerana mengeheret Musa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ujarnya, sepatutnya fokus berkempen untuk PRN kali ini adalah rancangan membangunkan ekonomi rakyat.

“Saya minta kepada Datuk Shafie jangan terbawa-bawa orang lain macam Tan Sri Musa Aman dia tidak pun menjadi calon.

“Walaupun mungkin dia ada kempen untuk beberapa kawasan  tetapi kenapa tumpuan kita berikan kepada beliau?

“Kita bantah bermacam-macam tidak adil bagi beliau. Ada yang keterlaluan fitnah dan sebagainya,” katanya.

Baru-baru ini, Shafie ketika berkempen dengan pemimpin-pemimpin Warisan Plus mendakwa Hajiji akan dikawal oleh Musa sekiranya menjadi Ketua Menteri.

Ketua Menteri Sabah itu membubarkan DUN selepas  Musa mendakwa menerima sokongan majoriti wakil rakyat di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette