KOTA KINABALU – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim senada dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi peluang kepada pesakit Covid-19 untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September nanti.
Namun katanya SPR perlulah melaksanakan cadangan tersebut seiring dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu bagi mengawal penularan wabak berkenaan.
“Saya setuju pasal pesakit Covid-19 pun harus diberi ruang untuk mengundi.
“Tetapi tentukah kita ikut peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya ringkas sebelum meninggalkan Program Ramah Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api Bersamanya.
Turut hadir calon PKR DUN Api Api Datuk Christina Liew Chin Jin.
Semalam Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) mencadangkan SPR menyediakan ruang dan SOP untuk pesakit Covid-19 mengundi pada 26 September ini.
Beliau berkata setiap rakyat berhak untuk mengundi walaupun dalam keadaan yang kurang sihat.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula dilaporkan berkata kerajaan tidak akan membenarkan pesakit Covid-19 keluar mengundi.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin kemudian menyokong keputusan itu
kerana dikhuatiri pesakit wabak berkenaan akan menjangkiti pengundi lain yang hadir ke pusat pengundian pada Hari Mengundi kelak.-MalaysiaGazette