Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan portal bahasa Mandarin tidak salah di sisi undang-undang kerana ia tertakluk dalam Seksyen 3, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, tegas Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Di bawah Seksyen 3 itu menyebut tiada apa-apa jua dalam akta ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau hak kerajaan mana-mana negeri untuk menggunakan apa-apa terjemahan dokumen atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain, bagi apa-apa maksud yang difikirkan perlu demi kepentingan awam.

Berikutan itu, Teo meminta semua pihak terutama pemimpin-pemimpin politik berhenti menghentam SPRM kerana suruhanjaya itu tidak membuat sebarang kesalahan dengan mewujudkan portal berkenaan.

Menurutnya, sebagai sebuah badan undang-undang negara, tentu SPRM sudah mengkaji baik atau buruknya kewujudan portal ini.

Lagipun, bagi SPRM matlamat utamanya untuk memastikan setiap maklumat dan mesej penting sampai kepada semua pihak sudah dilaksanakan, walaupun tindakannya nampak tidak kena.

Sewajarnya, kata beliau, orang-orang politik yang melihat dan menilai semula mengapa berlaku kegagalan orang Cina memahami bahasa Melayu sedangkan ia adalah bahasa negara Malaysia.

Artikel berkaitan: SPRM lancar portal bahasa Mandarin

Portal bahasa Mandarin: Kenapa orang Cina sentiasa diberi pilihan?

Terjemahan untuk bahasa Mandarin sahaja ke, bagaimana dengan etnik lain? – Armada

Portal Mandarin: Hina bahasa kebangsaan, perlu tutup segera

“Lihat semua kesalahan yang telah dilakukan oleh kerajaan selama ini hingga menyebabkan bahasa Melayu tidak menjadi bahasa negara bangsa.

“Apa yang telah berlaku dalam sistem pendidikan dan lihat semula langkah-langkah penegasan ke atas rakyat agar kebolehan berbahasa dan memahami bahasa Melayu itu suatu yang wajib seperti diperuntukkan dalam perlembagaan.

“Paling penting, tanya orang Cina kenapa masih gagal berbahasa dan memahami bahasa Melayu walaupun memegang kerakyatan Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kontroversi berhubung langkah SPRM mewujudkan portal SPRM berbahasa Mandarin yang bertujuan untuk menyebarkan maklumat.

Teo menyifatkan isu ini bukan perkara baharu kerana pada tahun 2010, Program Latihan Khidmat Negara telah membuat kaji selidik ke atas 13,925 orang responden dan mendapati 609 orang pelatih tidak boleh berbahasa Melayu langsung.

Kebanyakan mereka ini mendapat pendidikan dari sekolah Cina atau tidak meneruskan pendidikan di sekolah menengah.

“Inilah bukti kegagalan sekolah vernakular yang jelas tetapi tidak pernah hendak diakui oleh mana-mana pemimpin Cina pun.

“Logiklah, tidak faham bahasa Melayu kalau di sekolah semua mata pelajaran diajar dalam bahasa Cina,” ujarnya lagi.

Teo berkata, perkembangan ini sangat memalukan kerana pekerja asing dari Bangladesh, Nepal dan pelarian Rohingya pun boleh menguasai bahasa Melayu dalam tempoh enam bulan berada di negara ini.

“Sudah 57 tahun pembentukan Malaysia dan 63 tahun mencapai kemerdekaan namun masih ada rakyat Malaysia tidak tahu berbahasa Melayu, ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya dengan nada kecewa.

Berikutan itu, katanya, menjadi tanggungjawab besar kerajaan untuk melihat semula keadaan ini walaupun ia adalah isu sensitif bagi seluruh rakyat.

“Sama ada hendak memperbetulkan, memperbaiki atau apa sahaja ayat atau perkataan yang sesuai…kerana dalam keadaan sekarang ini pun masih ada pihak yang mempertahankan kewujudan sekolah vernakular, sehingga tidak segan-segan mahu menambahnya,” ujar Teo. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Kenapa tidak boleh salahkan SPRM? Org Cina yg tidak faham bahasa kebangsaan salah, dan SPRM juga salah. SPRM seharusnya menggunakan bahasa kebangsaan dlm urusan rasmi. Tindakan SPRM ini akan disalah ertikan oleh kelompok Cina yang tidak faham bahasa kebangsaan bahawa mempelajari bahasa kebangsaan adalah tidak perlu sebagai warga negara Malaysia. Malahan selepas ini adalah tidak mengejutkan agensi-agensi kerajaan juga akan mengikut jejak langkah SPRM. Bukan sahaja Bahasa Cina diangkat status seperti Bahasa Kebangsaan ,tetapi selepas ini bahasa Tamil, bahasa Inggeris dan pelbagai bahasa suku etnik akan menuntut status yang sama. Kenyataan Prof ini tidak tepat dan dangkal.

  2. Orang Cina tidak boleh berbahasa Melayu sebab sekolah rendah hingga menengah gunakan bahasa Cina contohnya sekolah vernarkular. Bahasa utama mereka adalah Cina. Jadi berlawanan dengan perlembagaan negara. Siapa salah dalam perkara ini? Siapa yang jadikannya. Itu sebab balik pangkal jalan dan buat jalan baru perbetulkan ikut perlembagaan negara yang dah termaktub. Kalau tak diperbetulkan sampai bilabila tak ada jalan penyelesaian malah bertambah kusut kalut marut tak berkesudahan dan inipun belum ada etniketnik lain yang menuntut.

  3. Sudah tiba masa nya kerjaan n pihak berwajid wujudkn skolh hnya satu aliran, itu shja yg kita nampak skrg demi utk mewujudkn perpaduan ngra demi msa depan anak cucu kita, wahai org politik ckup2 lh nk main politik kpd smua isu..ckup2 nak membela kaum menority, skrg kita kerja utk ngra , bhsa kebangsaan bukn bhsa msing2..ckup2 lh org politik nk ambil hati bgsa asing, jaga lh bgsa ngra kita drpd hncur dek kerna ahli2 politik perkauman ini..harap kami perlu di dgr n perlu di ambil berat olh pemerintah ngra.

Comments are closed.