Datuk Bung Mokhtar Radin.

SEMPORNA – Kerajaan telah memutuskan semua pengundi yang positif Covid-19 tidak akan dibenarkan mengundi, kata Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, perkara itu diberitahu oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Menteri Kanan Pertahanan memaklumkan bahawa pesakit Covid-19 tidak akan dibenarkan untuk mengundi. Ini satu keputusan yang wajar kalau ada di antara mereka yang keluar mengundi, maka akan menyebabkan ramai yang tidak mahu keluar mengundi.

“Tapi yang dikuarantin dan tidak ada keputusan lagi itu dibenarkan mengundi di dalam  bilik khas. Itu saya setuju,” katanya sambil menambah, setiap rakyat berhak mengundi walaupun dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Rakyat di Pulau Bum-bum, Semporna, Sabah yang turut dihadiri  Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, Abdul Manan Indanan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya saranan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang mahu SPR menyediakan ruang dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pesakit Covid-19.

Ahli Parlimen Semporna itu menambah, setiap rakyat berhak mengundi walaupun dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan.

Dalam pada itu, Bung Mokhtar menolak dakwaan bahawa ketiga-tiga DUN di sini adalah kubu kuat Warisan.

Katanya, ia hanya tanggapan orang tempatan sahaja.

“Itu cuma tanggapan orang bahawa Semporna adalah kubu kuat Warisan. Sebetulnya tidak ada kubu kuat di sini sebab rakyat sudah faham bagaimana Warisan mengurus negeri ini dan ekonomi.

“Janji Warisan terlalu banyak tapi tidak ditunaikan.

“Jadi dengan adanya calon muka baharu, saya bagi peluang orang kampung kenal. Pokoknya calon ini dikenali oleh orang kampung dan dalam sistem parti, sudah tentu jentera akan terus menggerakkan calon kita untuk menang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette