KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Indonesia yang ditahan bersama 26 pendatang asing tanpa izin di kawasan kolam udang Sungai Nipah Simpang Lima, Sabah Bernam disahkan positif Covid-19.
Dia kini dimasukkan ke Hospital Sabak Bernam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerak Am, Zulafendy Hassan berkata, baki PATI yang ditahan itu didapati negatif.
Menurut beliau, pasukannya telah menahan 12 lelaki warga Indonesia, Bangladesh (2) dan 12 wanita Indonesia serta seorang kanan lelaki berusia 12 tahun awal pagi semalam, kira-kira jam 3 pagi.
Hasil siasatan awal dipercayai kesemua mereka masuk ke Malaysia melalui jalan laut dengan menggunakan tongkang dan kemudian dilepaskan di pesisir pantai tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Mereka berumur antara 21 tahun hingga 45 tahun.
“Kesemua 27 pendatang tanpa izin itu telah dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk ujian Covid-19, hasil saringan mendapati 26 negatif dan 1 perempuan warga Indonesia berusia 45 tahun positif,” katanya dalam kenyataan di sini.
Zulafendy menambah, mereka turut merampas 22 telefon bimbit pelbagai jenama dan nilai rampasan berjumlah RM3,200. – MalaysiaGazette