Seorang penunggang basikal melintasi deretan bendera ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Kampung Labut, Tenom, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Polis mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.

“Sempena PRN Sabah kita dapat maklumat yang mengatakan akan berlaku kemasukan besar-besaran pendatang dari negara jiran untuk datang ke Sabah membuat kekacauan.

“Ini kita kena halang supaya pilihan raya berjalan dengan lancar dan tidak mengganggu-gugat serta ketenteraman dan keselamatan kita terjamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya pemberita beliau enggan mendedahkan sumber risikan, jumlah yang dijangka terbabit dan jenis kekacauan yang akan ditimbulkan.

“Dari negara jiran, tidak payah spesifik lah,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut soalan pemberita berkaitan perkara tersebut.

— BERNAMA