Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Warisan Plus (Warisan) didakwa mahu mengalihkan perhatian rakyat dengan menggunakan slogan perpaduan (unity) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedangkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, Sabah memang terkenal dengan keharmonian kaum dan semangat muhibah yang menjadi kebanggaan rakyat.

Langkah itu kerana Warisan gagal menepati janji, melakukan penyelewengan, gagal membantu warga Sabah dalam krisis Covid-19 dan kegagalan menjaga ekonomi Sabah sehingga negeri itu menyaksikan pertumbuhan paling corot antara semua negeri-negeri Malaysia untuk dua tahun berturut-turut.

Datuk Seri Najib Razak berkata, Warisan Plus jarang menyebut tentang trek rekod pertumbuhan ekonomi dan rancangan serta hala-tuju mereka untuk membangunkan Sabah dalam ceramah-ceramah PRN, sebaliknya, cuma memainkan sentimen unity dan maruah Sabah.

”Jadi, warga Sabah perlu tanya di mana letaknya maruah Sabah apabila rata-rata janji manifesto Sabah mereka ‘dicapatikan’ oleh Warisan?,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tegas bekas Perdana Menteri itu, Warisan janji Ketua Menteri Sabah tak boleh pegang Menteri Kewangan tapi terus melantik diri sendiri sebagai Menteri Kewangan Sabah sebulan selepas jadi Ketua Menteri.

Warisan janji akan hadkan jawatan Ketua Menteri untuk dua penggal tetapi janji ini langsung tak ditunaikan, malah had tempoh dua penggal Yang Dipertua sedia ada pula dimansuhkan Warisan.

”Warisan janji akan kembalikan royalti minyak 20% dan 50% cukai. Di mananya?

”Warisan janji 33% peruntukkan pembangunan bajet tahunan kerajaan PH akan diberi kepada Sabah dan Sarawak tapi yang dapat cuma 17.1% sahaja.

”Warisan janji akan naikkan pembangunan ekonomi Sabah dan menjana banyak peluang pekerjaan tapi yang warga Sabah dapat pula ialah pertumbuhan ekonomi Sabah tukar dari paling tinggi bawah BN ke paling corot antara semua negeri untuk dua tahun berturut-turut. Lebih ramai warga Sabah yang hilang kerja.

”Warisan janji akan batalkan projek empangan Kaiduan jika menang tapi projek diteruskan selepas dijenamakan semula menjadi empangan Papar.

”Warisan janji “Sabah untuk Sabahan” dan kerajaan bersih tanpa rausah tapi projek terbesar Sabah bernilai RM3 bilion diberi secara rundingan terus kepada syarikat Semenanjung Malaysia berkait terowong Pulau Pinang bersama syarikat tanpa satu sen pendapatan yang dimiliki anak muda berumur 26 tahun sahaja.

”Ke mana letaknya maruah warga Sabah apabila kerajaan Warisan Sabah memberi projek penyelenggaraan jalan bernilai RM1.45 bilion secara rundingan terus oleh kerajaan Warisan Sabah kepada 4 buah syarikat dengan pendapatan sifar – termasuk sebuah syarikat yang baru ditubuh 10 bulan dan sebuah lagi syarikat yang berkait dengan kes rasuah RISDA menteri infrastruktur Warisan.

”Bila ditanya, Warisan terus diam. Buat tak nampak bukti surat-surat Kerajaan Sabah sendiri,” katanya.

Dedah Najib lagi, Warisan janji akan menghormati kedaulatan undang-undang dan berintegriti tapi Menteri Infrastruktur Warisan Sabah yang banyak memberi projek secara rundingan dan didakwa berkali-kali di mahkamah atas tuduhan rasuah tetapi tidak disuruh melepaskan jawatan.

Oleh itu, katanya, rakyat Sabah tidak dapat apa-apa jika undi Warisan.

”Cuma dapat balik sebuah kerajaan yang terbukti mengencing warga Sabah dengan janji-janji manifesto yang dicapatikan. Dapat balik sebuah kerajaan yang terbukti gagal menjaga ekonomi Sabah dan gagal merancang hala tuju pembangunan Sabah.
Dapat balik sebuah kerajaan yang terbukti gagal menjaga dan membantu warga Sabah yang susah semasa krisis Covid.

”Di sebalik permainan sentimen dan slogan Unity serta “maruah” Sabah dari puak Warisan, tiada apa-apa yang boleh diharapkan warga Sabah jika Warisan menang,” ujarnya kerana Sabah sudah lama bersatu.

Malah, perpaduan dan harmoni Sabah sudah lama wujud.

Sebab itu, rakyat Sabah tak perlu permainan slogan dan sentimen untuk alihkan perhatian daripada kegagalan-kegagalan Warisan.

Sebaliknya Sabah perlu ialah sebuah kerajaan yang mampu membina hala tuju jelas bagi ekonomi dan Sabah serta dan mampu menyelamatkan ekonominya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Paloi punya parti warisan penipu kepada rakyat sabah..tumbangkan parti orang pilak ni dalam PRN16..sabah for sabahan bukan sabah for sempolna.

Comments are closed.