Tho lahir pada 30 Jan 2008 di China dan mula ‘dipasangkan’ dengan Patrick semasa berusia lapan bulan selepas Patrick yang bertugas sebagai pemandu di Unit K9 sebelum itu, diberi kepercayaan mengendalikan aset berkaki empat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

KUANTAN – Sarjan Patrick Sandai sudah biasa menghadapi pelbagai cabaran dalam tugasnya sebagai anggota polis, namun kehilangan anjing seliaannya bernama Tho akibat sakit tua semalam, antara yang paling terkesan buat dirinya.

“Saya kehilangan rakan setugas pertama,” kata anggota Unit Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu kerana anjing baka Labrador berusia 12 tahun lapan bulan tersebut adalah anjing pertama beliau sepanjang 20 tahun berkhidmat.

Patrick, 40, berkata beliau berada di sisi di Tho, di kandang Unit K9 di sini, semasa anjing itu disahkan mati pada 7.30 malam semalam kerana beliau tidak mahu meninggalkan Tho sendirian selepas merasakan keadaannya semakin teruk semasa datang bertugas pada sebelah pagi.

Tho lahir pada 30 Jan 2008 di China dan mula ‘dipasangkan’ dengan Patrick semasa berusia lapan bulan selepas Patrick yang bertugas sebagai pemandu di Unit K9 sebelum itu, diberi kepercayaan mengendalikan aset berkaki empat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

“Kami berkursus di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur selama empat bulan untuk mencari keserasian. Banyak operasi di kelab malam, pelabuhan, lapangan terbang dan pelbagai lokasi lain telah kami sertai tanpa mengira waktu kerana Tho adalah anjing pengesan narkotik.

“Sepanjang bertugas, tidak pernah sekalipun Tho mengecewakan saya. Selain dilatih untuk sangat taat, Tho sebenarnya adalah anjing yang manja dan sering menggesel kaki saya untuk mengajak saya bermain jika merasakan saya kurang ceria pada hari tersebut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Patrick berkata sebelum berpindah ke IPK Pahang pada 1 Jun 2018, mereka berdua bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Johor dan di sana, banyak terlibat dalam operasi membanteras penyeludupan dadah.

Anak jati Bintulu, Sarawak itu berkata kesihatan Tho mula merosot sejak tiga bulan lalu akibat usia tua, dan semakin teruk mulai minggu lalu apabila ia enggan makan dan kurang bergerak menyebabkan masanya banyak dihabiskan dalam kandang selain tidak lagi aktif bermain bersama anjing lain.

Keadaan itu menyebabkan Patrick perlu mendukung Tho semasa membawanya ke klinik veterinar pada Rabu lalu bagi menjalani pemeriksaan dan semasa itu, doktor telah memaklumkan bahawa peluang Tho untuk terus hidup adalah tipis.

“Walaupun doktor memberikan jangkaan selama seminggu untuk Tho, saya dapat merasakan semalam adalah hari terakhirnya kerana melihat ia baring sepanjang hari dan muntah setiap kali makan.

“Malah, ia tidak memberikan reaksi apabila saya memanggil namanya. Lazimnya Tho akan membuka mata dan mengoyangkan ekor… disebabkan itu, saya menghabiskan masa seharian bersamanya sehingga saya akhirnya sedar ia tidak lagi bernafas,” katanya.

Kematian Tho yang dikongsikan dalam Facebook rasmi IPK Pahang juga mendapat reaksi netizen yang turut bersedih dengan pemergian Tho selain ada yang berterima kasih atas jasa anjing itu selama berkhidmat.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast