Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Sukuk Prihatin telah terlebih langganan dengan jumlah lebih RM666 juta, melepasi sasaran awal RM500 juta.

Memandangkan sambutan yang amat memberangsangkan dari pemohon yang layak, kerajaan memutuskan untuk menerbitkan langganan tambahan sebanyak RM166 juta.

Dengan penutupan tempoh langganan pada 17 September lalu, Sukuk Prihatin ini akan diterbitkan pada 22 September 2020 dengan tempoh matang dua tahun.

”Kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang melanggan Sukuk Prihatin.

”Lebihan langganan dan kejayaan penerbitan Sukuk Prihatin adalah bukti semangat satu hati dan kerjasama rakyat Malaysia dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini, selaras dengan tema #MalaysiaPrihatin. Kerajaan percaya semangat ‘ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’ inilah yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih teguh,” kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

Sukuk ini menawarkan kadar keuntungan sebanyak 2% setahun yang akan dikecualikan cukai dan dibayar setiap suku tahunan.

Pemegang sukuk juga mempunyai pilihan untuk menderma sebahagian atau keseluruhan jumlah prinsipal langganan apabila tempoh pelaburan matang pada 21 September 2022.

Sukuk ini adalah inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyumbang ke arah usaha membina semula negara pasca pandemik Covid-19.

Tempoh langganan dibuka pada 18 Ogos dan telah ditutup pada 17 September 2020 yang lalu.

Dana terbitan Sukuk Prihatin ini akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Covid-19 untuk pelaksanaan langkah-langkah pemulihan ekonomi seperti menambah baik kesalinghubungan di sekolah-sekolah luar bandar, menyokong usaha penyelidikan penyakit berjangkit dan membiayai usahawan mikro.

Tengku Zafrul berkata, langganan dalam talian ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan melakar sejarah buat sukuk digital yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Sukuk ini telah dilanggan menerusi JomPAY dan/atau DuitNow yang diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia.

Maybank merupakan bank pengedar utama bagi sukuk ini.  – MalaysiaGazette