KUALA LUMPUR – Terdapat tiga lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) Secara Pentadbiran yang masih aktif iaitu dua di Amanjaya dan Kota Setar, Kedah manakala satu lagi di Penjara Tawau dan Kuarters, Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatannya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, PKPD Secara Pentadbiran Amanjaya, yang bermula 28 Ogos lalu, melibatkan tiga zon iaitu Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melor.
Katanya, tempoh PKPD ini dilanjutkan sehingga 26 September 2020 di Zon Melor selepas 13 kes baru dikesan di zon tersebut pada hari ke-13 PKPD dilaksanakan.
“Sehingga kini, seramai 13,591 individu telah disaring untuk lokaliti berkenaan yang mana yang mana enam individu dikesan positif dan 13,575 individu dikesan negatif Covid-19.
“Kesemua 16 kes positif adalah warga tempatan dan sebanyak 600 sampel ulangan telah diambil dari Zon Melor pada 19 September lalu dan masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham memberitahu, seramai 17,954 individu di lokasi PKPD Secara Pentadbiran di Kota Setar telah menjalani ujian saringan sejak 11 September lalu.
Daripada saringan itu, 17 kes dikesan positif Covid-19 selepas 13 September lalu (Kluster Sungai 13 kes dan tidak terlibat dengan mana-mana kluster 4 kes).
Sementara 17,320 individu dikesan negatif Covid-19 dan 617 lagi individu masih menunggu keputusan.
Semua 17 kes positif yang dikesan adalah warga tempatan.
“PKPD Secara Pentadbiran di Penjara Tawau dan Kuarters, Sabah, dilaksanakan oleh kerajaan bermula 11 September lalu juga susulan peningkatan kes dalam Kluster Benteng LD di Tawau.
“Saringan kluster ini telah meliputi seramai 6,345 individu, yang mana seramai 426 individu daripadanya dikesan positif dan 4,120 individu dikesan negatif sementara 1,799 lagi masih menunggu keputusan saringan.
“Daripada jumlah 426 kes positif itu, seramai 206 orang adalah warganegara tempatandan 220 lagi kes melibatkan warga asing,” tegasnya.-MalaysiaGazette