Calon Barisan Nasional (BN) DUN N.64 Sulabayan, Abdul Manan Indanan beramah mesra bersama penduduk kampung ketika hadir ke program ramah mesra Pengerusi BN Sabah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2020.

SEMPORNA – Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, Abdul Manan Indanan mengakui biarpun dirinya adalah calon muka baharu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Meskipun begitu, beliau adalah ahli politik yang berpengalaman.

Berdepan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jaujan Sambakong, Abdul Manan berkata, beliau layak untuk bertanding di situ kerana mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam politik.

“Saya calon muka baharu dalam PRN tetapi dalam dunia politik sudah agak lama.

“Sebenarnya ini bukan perkara biasa dalam politik, soal dengan siapa pun kita bertanding yang penting kita bertanding secara sihat melalui proses demokrasi.

“Jadi kita nampak sendiri dari sokongan dan dukungan dan momentum untuk memenangkan BN itu ada,” katanya selepas mengiringi Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengadakan siri jelajah di Pulau Bum-bum, Semporna, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Manan berkata, seperti calon-calon lain, beliau turut melahirkan kebimbangannya tentang penularan Covid-19 di sekitar Semporna.

Berikutan itu beliau meminta pengundi mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ketika dan selepas mengundi di pusat mengundi masing-masing.

“Ini yang merisaukan kita tapi kita nasihatkan kepada penyokong agar mengikut SOP dengan memakai pelitup muka dan pakai hand sanitizer dan jaga penjarakan dan kita boleh kawal penularan wabak ini.

“Pandemik ini sudah banyak kluster di Semporna tapi di DUN Sulabayan ini kita pastikan program yang kita buat itu ikut SOP,” katanya lagi.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN N.64 Sulabayan, Abdul Manan Indanan ketika hadir ke program ramah mesra Pengerusi BN Sabah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2020.

Selain berdepan Dr Jaujan yang juga Naib Presiden Parti Warisan, Abdul Manan turut mendapat saingan daripada Alahuddin Mohd Sarah dari Parti USNO.

Jumlah pemilih berdaftar di DUN Sulabayan adalah sebanyak 14,012 pengundi. – MalaysiaGazette