Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kes baharu positif Covid-19 setakat 12 tengahari tadi meningkat sedikit kepada 57 kes.

Ia melibatkan 51 kes tempatan dan enam lagi kes import. Tiada kematian baharu direkodkan.

Dalam masa yang sama, Sabah terus mencatatkan kes harian terbanyak sebanyak 49 kes dengan 14 kes adalah daripada Kluster Pulau dan 12 kes Kluster Selamat.

Terdapat satu kluster baharu telah dikesan hari ini iaitu Kluster Kuarters Tongod di Sandakan, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat sembilan pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini yang kesemuanya adalah warganegara Malaysia.

Katanya, empat daripadanya adalah daripada Kluster Sungai, masing-masing satu kes daripada Kluster Tawar, Kluster Benteng LD, Kluster Pulau, severe acute respiratory illness dan saringan kontak rapat.

Dua daripadanya terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Mengulas lanjut, Kedah mencatatkan satu kes baharu Covid-19 di bawah Kluster Sungai dan Selangor turut merekodkan satu kes baharu melibatkan seorang warganegara asing yang menjalani saringan pra-pembedahan di Hospital Kuala Lumpur.

“Ingin dimaklumkan bahawa pengesanan kontak rapat masih dijalankan bagi semua kes disahkan positif Covid-19.

“Kesemua kontak rapat yang dikenalpasti perlu dikuarantinkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari serta akan menjalani ujian saringan Covid-19 seperti yang telah ditetapkan dalam perintah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai kluster terbaharu yang dikesan di Sandakan, Sabah hari ini, Noor Hisham berkata, ia dikenal pasti hasil saringan yang telah dijalankan di sekitar daerah Tongod susulan saringan Covid-19 terhadap seorang petugas kesihatan yang didapati positif ujian saringan RTK Antigen pada 4 September lalu.

Beliau telah disaring sebagai saringan rujukan ke hospital namun, ujian pengesahan Covid-19 ke atas beliau (iaitu rt-PCR) didapati negatif.

Saringan di sekitar daerah Tongod yang bermula pada 6 September 2020 telah melibatkan masyarakat setempat termasuk petugas kesihatan Klinik Kesihatan tersebut.

Seramai 117 individu telah disaring setakat jam 12 tengahari tadi, lima daripadanya positif Covid-19 manakala baki 112 masih menunggu keputusan.

Mereka yang positif Covid-19 adalah tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan.

Bagi kes import yang telah dikenal pasti hari ini, Noor Hisham memaklumkan, terdapat tiga kes dilaporkan di Selangor melibatkan Pendatang Tanpa Izin (PATI), tiga kes di Kuala Lumpur melibatkan seorang warganegara yang baru pulang dari United Kingdom manakala masing-masing satu kes melibatkan warganegara asing yang tiba dari Pakistan dan Zambia.

Dengan 57 kes baharu yang dicatatkan hari ini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,276 kes dan korban kekal 130.

Seramai 40 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hari ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 751 kes.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast