Taj Mahal

NEW DELHI – Taj mahal yang ditutup sejak enam bulan lalu ekoran penularan Covid-19 akan dibuka semula.

Bagaimanapun, hanya 5,000 orang pelawat sehari dibenarkan memasuki bangunan ikonik itu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kenaikan kes Covid-19 di negara ini.

Taj Mahal adalah salah satu tarikan pelancong dunia, menerima 70,000 orang sehari sebelum pandemik.

Bagi memastikan langkah-langkah keselamatan diambil, bangunan ini akan menjalani sanitasi sebelum dibuka pada jam 8 pagi.

Semua kakitangan diwajibkan memakai pelitup atau pelindung muka.

Pemeriksaan suhu juga akan dijalankan sebelum memasuki bangunan tersebut.

Pelawat diminta menggunakan pembayaran secara digital untuk membeli tiket masuk.

Malah, pelawat turut dikenakan penjarakan sosial dan bergambar secara berkumpulan tidak dibenarkan langsung.

Penutupan Taj Mahal selama enam bulan adalah yang paling lama pernah dibuat oleh Kerajaan India.

Kali terakhir ia ditutup pada tahun 1978 semasa berlaku banjir di bandar Agra.

Sebelum itu, ia ditutup beberapa hari pada tahun 1971, ketika perang antara India dan Pakistan. – MalaysiaGazette