Jesse Lingard bakal menyertai skuad Jose Mourinho di White Hart Lane.

LONDON – Tottenham Hotspurs memulakan rundingan rasmi bersama Manchester United untuk membeli Jesse Lingard.

Kelab kendalian Jose Mourinho itu dikatakan sedang mempertimbangkan peluang untuk mendapatkan khidmat Lingard sekiranya the Red Devils bersedia melepaskan pemain itu dengan klausa yang relevan.

Lingard, 27, mengharungi kempen yang mengecewakan bersama skuad Ole Gunnar Solskjaer musim lalu di Old Trafford.

Dia hanya menjaringkan gol sekali dalam Liga Perdana Inggeris dan mengakui kekurangan peluang beraksi dalam kesebelasan utama menyumbang kepada penurunan prestasinya di atas padang.

Lingard beraksi cemerlang di bawah kendalian Jose Mourinho pada kempen 2017/18 di Theatre of Dreams apabila berjaya menjaringkan 13 gol.

Ketika ini Man United menuntut 20 juta pound untuk Lingard sekiranya Tottenham serius dalam melamar pemain itu.

Laporan mendakwa Manchester United tidak berhasrat menyimpan pemain itu bersama kelab tersebut.

Kehadiran Lingard akan menjejaskan masa depan Dele Alli bersama Spurs dan laporan terbaharu juga mendakwa Jose membuat keputusan untuk menjual pemain itu.-MalaysiaGazette