SPRM
SPRM bertindak memanggil pelbagai pihak termasuk daripada PDRM untuk memberi keterangan.

PUTRAJAYA- Versi bahasa Mandarin dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan baharu diwujudkan tetapi diaktifkan semula dengan beberapa pembaharuan serta penambahbaikan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, hari ini menjelaskan versi berkenaan sudah wujud sejak 2015 dan ditutup sementara pada 2018, sebelum diaktifkan semula dengan penambahbaikan baru-baru ini bagi memastikan mesej antirasuah disampaikan dengan lebih meluas kepada masyarakat di negara ini.

“Versi bahasa Mandarin sebelum ini tidak dikemas kini dan ditutup pada 2018. Sekarang kami aktifkan semua sebab ada pegawai yang boleh mengendalikannya… mungkin versi bahasa Tamil akan dibuat juga jika ada peruntukan yang cukup,” katanya kepada Bernama berhubung reaksi pelbagai pihak mengenai versi bahasa Mandarin di portal SPRM itu.

Hari ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menerusi Ketua Pergerakan Wiranya, Nasrul Ali Hassan Abdul Latif menghantar surat kepada SPRM bagi membantah penggunaan bahasa Mandarin dalam portal rasmi suruhanjaya itu.

Shamshun Baharin menegaskan SPRM meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam portal rasminya walaupun terdapat lain-lain bahasa sebagai pilihan.

Beliau juga menegaskan SPRM tidak pernah membelakangkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sentiasa mematuhi Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Tidak timbul isu SPRM tidak mematuhi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan kerana versi bahasa Melayu masih diguna pakai sebagai bahasa utama di portal rasmi SPRM,” katanya.

Shamsun Baharin berkata, kepelbagaian bahasa yang digunakan adalah bertujuan untuk memastikan matlamat menyebarluaskan mesej antirasuah serta memberi kefahaman mengenai kepentingan pencegahan rasuah tercapai.

Menurutnya, risalah pencegahan rasuah juga dibuat dalam empat bahasa iaitu Melayu, Mandarin, Inggeris dan Tamil khusus untuk memberi pemahaman yang lebih kepada masyarakat.-BERNAMA

2 Komen

  1. Kepelbagaian bahasa bertujuan untuk menyebarluaskan mesej anti rasuah – dakwa SPRM. Nak tanya SPRM ni, rakyat Malaysia tak faham Bahasa Kebangsaan ke??? Lain lah mcm English utk pelancong..ni pelancong dari China juga ke tak faham bahasa kebangsaan???

  2. Mana ada negara luar tulis bahasa lain bagi undang2 negara mereka ? Inillah cacing naik ke mata. Esok nanti translate semua kanun keseksaan dan undang2 kepada bahasa lain dari bahasa kebangsaan…lepas itu Parlimen pun kena translate setiap hari.. lama lama bahasa kebangsaan tak ada sebab mereka tahu.. oleh itu tak terperanjat ada terjumpa bukan melayu yang langsung tak boleh berbahasa Malaysia

Comments are closed.