Donny van de Beek.

LONDON – Pemain tengah Manchester United, Donny van de Beek meminta rakan-rakannya untuk melupakan kekalahan yang dialami dan menyeru untuk segera bangkit serta memenangi perlawanan berikutnya.

Van de Beek juga mengakui bahawa dia merasa lega kerana pasukannya dapat bermain dengan segera dalam masa terdekat setelah mengalami minggu yang suram.

 “Ya, saya gembira ada perlawanan dalam waktu terdekat,” jelas Van de Beek kepada MUTV.

Pemain berusia 23 tahun ini juga berharap rakan sepasukanya di Old Trafford dapat meningkatkan prestasi untuk memberi kemenangan kepada peminat.

“Kami harus memperbaiki permainan kami dan kami wajib untuk menang,” katanya.

Pemain antarabangsa Belanda itu juga mengakui bahawa gol pertamanya untuk United tidak dapat dinikmati sepenuhnya dan terasa hambar kerana gol yang hadir itu tanpa peminat di stadium. 

“Mampu bermain di hadapan peminat di stadium seperti ini akan lebih baik. Ya, saya menjaringkan gol namun pada akhirnya kami kalah dan yang paling penting ialah kami harus memenangi perlawanan berikutnya untuk kembali memupuk keyakinan kami,” katanya.

Pada perlawanan pembukaan Ahad lalu, United tewas mengejut 1-3 pada Crystal Palace di laman sendiri. – MalaysiaGazette