Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sehingga 18 September lalu, nilai ringgit telah menyusut sebanyak 0.5 peratus.

Ia disebabkan oleh ketidaktentuan berkaitan geopolitik, kemerosotan sentimen pelabur dalam pasaran kewangan dunia berikutan kebimbangan ketara penularan Covid-19 dan kejatuhan harga minyak global.

Namun, memandangkan negara masih merupakan pengeksport bersih, mata wang ringgit yang kompetitif mempunyai kelebihan secara amnya.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, sejak akhir Mac, sentimen pelabur dalam pasaran kewangan dunia menjadi semakin positif berikutan pelaksanaan segera tindak balas dasar oleh bank-bank pusat dan kerajaan di seluruh dunia bagi mengurangkan kesan pandemik Covid-19.

Berikutan perkembangan ini, mata wang ringgit telah menambah nilai sebanyak 4.2% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) sejak akhir Mac (sehingga 18 September), sejajar dengan pergerakan mata wang serantau yang berubah dalam lingkungan 4.8% – 10.9%.

”Dalam persekitaran global yang mencabar serta pasaran kewangan dunia yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan penting sebagai penyerap kejutan terhadap keadaan luaran yang berubah-ubah tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi domestik.

”Namun begitu, volatiliti ringgit yang ketara boleh meningkatkan ketidaktentuan dan menjejaskan aktiviti ekonomi berikutan kesukaran sektor perniagaan dan perindustrian merancang strategi serta mengambil keputusan yang wajar,” katanya yang menjawab soalan Senator Teo Eng Tee yang bertanya tentang langkah yang diambil oleh kementerian dalam membendung prestasi ringgit Malaysia yang semakin merosot.

Tengku Zafrul Abdul AzizDalam hal ini, kata Tengku Zafrul, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) akan sentiasa memastikan keadaan pasaran kewangan lebih teratur dan lancar.

BNM juga komited dalam memperkenalkan langkah untuk memastikan kecairan ringgit mencukupi, pasaran terus kekal berdaya tahan dan aktiviti spekulasi dalam pasaran dikurangkan.

Langkah ini termasuk menetapkan syarat supaya sebahagian besar daripada hasil eksport dalam mata wang asing ditukarkan kepada ringgit bagi meningkatkan mudah tunai wang asing dalam pasaran dalam negeri dan meningkatkan penguatkuasaan ke atas peraturan pertukaran asing sedia ada bagi mencegah aktiviti spekulasi mata wang ringgit diniagakan di luar pesisir.

Pada masa sama, BNM telah memperkenalkan instrumen pelindung nilai (hedging instruments) dan menyediakan fleksibiliti agar peserta pasaran kewangan dan sektor perniagaan boleh melaksanakan pengurusan risiko pendedahan mata wang asing dengan lebih baik, ujarnya.

”Dalam jangka masa panjang, nilai ringgit akan didorong terutamanya oleh kekuatan asas ekonomi negara, oleh yang demikian, kerajaan akan terus menumpukan usaha bagi meningkatkan daya tahan ekonomi dengan mempelbagaikan sumber pertumbuhan, memperkukuh daya saing dan kedudukan
fiskal negara,” tambahnya.

Sektor perniagaan juga tidak seharusnya bergantung kepada nilai ringgit semata-mata untuk meningkatkan daya saing, sebaliknya patut menumpukan kepada peningkatan produktiviti dan inovasi serta pengurangan kos. – MalaysiaGazette