Sebahagian anggota polis menunjukkan jari berdakwat kekal selepas membuang undi pada hari pengundian awal sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Balai Polis Daerah Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Sebanyak 76 peratus pengundi awal membabitkan pegawai dan anggota polis keluar menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Statistik keluar mengundi awal itu dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah undian itu ditutup jam 5 petang tadi.

Proses pengundian awal diadakan di 55 pusat mengundi di seluruh Sabah.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membawa kotak undi selepas tamat tempoh pengundian awal sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Balai Polis Daerah Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2020.

Menurut statistik SPR, sejumlah 16,877 orang pengundi layak mengundi.

Daripada jumlah itu, 7,487 anggota tentera dan pasangan serta 9,390 anggota polis.

SPR menetapkan 12 September sebagai tarikh penamaan calon diikuti pengundian awal 22 September dan pengundian biasa, 26 September ini.

PRN ini menyaksikan 391 calon termasuk 56 calon bebas bertanding merebut 73 kerusi DUN termasuk 13 yang baharu diwartakan tahun lalu. – MalaysiaGazette