Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah yang juga calon Perikatan Nasional (PN) N.12 Sulaman, Datuk Hajiji Noor (tengah) bergambar kenangan dengan penduduk yang hadir pada Program Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Penimbawan, Tuaran, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2020.

TUARAN – Pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai gimik politik bagi meraih undi pada Pilhan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berbaki tiga hari.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, adalah mustahil Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menerima sokongan daripada pelbagai parti khususnya Perikatan Nasional (PN).

“Bagi saya ini semua gimik politik kerana mahu tukar fikiran orang Sabah supaya menyokong mereka.

“Ini tidak mungkin berlaku, tidak mungkin beliau mendapat sokongan daripada Sarawak, UMNO, PN.

“Jadi bagi saya ini adalah satu gimik politik Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar, Warisan Plus, PKR dan DAP untuk menang di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Calon DUN Sulaman di Gelanggang Futsal Kampung Penimbawan hari ini.

Selain pasti Anwar berbohong, Hajiji menganggap tindakan Presiden PKR itu sebagai terdesak.

“Rakyat Sabah bijak memilih kerajaan baru pada 26 September 2020.

“Beliau memang terdesak kerana ianya dibuat di dalam keadaan kita mahu buang undi yang tinggal dua tiga hari lagi, strategi ini tidaklah mempengaruhi rakya Sabah. Ini adalah satu pembohongan, satu berita yang tidak betul,” tambahnya.

Pada sidang media di sebuah hotel Anwar berkata, beliau cuba mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada jam 11 malam tadi untuk memaklumkan keputusan menerima sokongan manoriti Ahli Parlimen Melayu dan Islam, tetapi ditangguhkan kerana baginda telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) atas faktor kesihatan. – MalaysiaGazette