Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR – Pas menerusi menyatakan sokongan penuh ke atas kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang masih sah daripada sisi Perlembagaan Malaysia.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu yang mempunyai 18 Ahli Parlimen akan terus memperteguhkan setiakawan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Seterusnya Pas mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati mendukung usaha Kerajaan Perikatan Nasional menangani wabak COVID19 dan memulihkan ekonomi negara secara bersama. Islam Memperkukuh Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan pengumuman mengejut Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media khas di sebuah hotel di sini, hari ini, yang mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk menukarkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam satu kenyataan menegaskan, kerajaan PN masih berdiri teguh dan beliau adalah Perdana Menteri yang sah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Katanya, dakwaan Anwar bahawa beliau telah memperoleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette