Calon Parti Cinta Sabah (PCS) N.64 Sulabayan, Alahuddin Mohd Sarah berucap ketika di sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Usung Melantak, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2020.

SEMPORNA – Tidak dinafikan bahawa Parti Warisan Sabah (Warisan) dan UMNO ada membawa pembangunan di Semporna, namun ia tidak mencukupi.

Calon Parti Cinta Sabah (PCS) bagi Dewan Undangan Ngeri (DUN) Sulabayan, Alahuddin Mohd Sarah berkata, pembangunan yang dibawa oleh kedua-dua kerajaan itu tidak setimpal dengan 38 tahun pemerintahan mereka.

“Mereka (UMNO dan Warisan) sudah berkhidmat selama 38 tahun dan pembangunan yang sepatutnya berlaku terutama di Semporna khususnya di Sulabayan keadaannya tidak seperti ini.

“Kalau kita bandingkan 38 tahun itu sudah banyak pembangunan di sana sini tetapi perkara ini tidak berlaku.

“Kalau ada pun pembangunan mereka buat di tempat lain. Sedangkan di Semporna ini memerlukan pembangunan. Kalau diberikan kesempatan untuk meneraju kerajaan negeri Sabah ini perkara seperti ini kita akan dapat lakukan dan boleh membantu rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semporna ditadbir oleh UMNO dan Warisan dibawah Datuk Seri Shafie Apdal.

Calon Parti Cinta Sabah (PCS) N.64 Sulabayan, Alahuddin Mohd Sarah berucap ketika di sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Usung Melantak, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2020.

Dakwa Alahuddin, Warisan melihat ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semporna sebagai fix deposit dengan keyalinan  rakyat akan terus memberi undi kepada calon parti itu.

“Mereka beranggapan bahawa penduduk Semporna khususnya di Sulabayan adalah fix deposit mereka. Apapun yang mereka lakukan pengundi ini akan ikut. Tapi saya yakin dan percaya waktu ini, kali ini tidak berlaku.

“Pemimpin dan penduduk dan juga masyarakat di tempat lain sudah mempunyai satu pilihan yang akan memilih pemimpin baharu terutama mereka yang ada pendidikan, integriti dan saya mempunyai kriteria yang diperlukan oleh penduduk di sini,” katanya.

DUN Sulabayan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Manan Indanan; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jaujan Sambakong, yang juga Naib Presiden Parti Warisan, dan Alahuddin.

Jumlah pemilih berdaftar di DUN Sulabayan adalah sebanyak 14,012 pengundi. – MalaysiaGazette