KUALA LUMPUR – Lapan keterangan telah direkodkan oleh polis bagi membantu siasatan polis dalam kes tiga penyamun bersenjata parang melarikan emas dan wang tunai dalam kejadian di Lebuhraya Besraya jam 3.35 petang kelmarin.

Geng samun itu dipercayai telah menggunakan kenderaan klon atau palsu untuk melakukan jenayah tersebut.

Hasil soal siasat polis dengan pemilik syarikat pengedar emas di sekitar Kuala Lumpur kerudian melibatkan barang kemas bernilai RM3 juta, wang tunai RM67,000 dan Toyota Hilux yang dibakar dianggarkan RM70,000.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, Bahagian Siasatan Jenayahnya berjaya merekodkan lapan keterangan daripada saksi-saksi yang terlibat dalam kes ini.

“Hasil siasatan lanjut juga menunjukkan sebanyak dua buah kereta jenis pacuan empat roda (Hilux) yang digunakan suspek menyamun adalah kereta klon atau palsu dan pengesahan itu telah dibuat dengan pemilik asal kedua-dua kereta itu,” katanya dalam kenyataan perkembangan terkini siasatan kes tersebut.

Menurut Zairulnizam, polis turut merakam keterangan saksi iaitu seorang pemandu e-hailing yang merakam video kejadian tersebut dan telah menyebarkan rakaman tersebut di media sosial tanpa menghubungi pihak polis.

“”Saya menyeru orang awam agar terus menghubungi pihak polis jika melihat sebarang kejadian jenayah yang berlaku agar tindakan segera boleh diambil berbanding terlebih dahulu hanya menyebarkan kejadian di media sosial sahaja.

“Tindakan seperti itu hanya akan menyebabkan penjenayah sempat melarikan diri atau perkara yang lebih buruk boleh berlaku di luar jangkaan,” tegasnya.

Beliau juga memohon kerjasama semua pihak terutama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh terus menghubungo di talian +603-22979222.

“Polis jua menyeru masyarakat awam agar terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan sentiasa berhati-hati setiap masa.

“PDRM akan terus kekal fokus bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Emas, wang tunai lesap disamun, kereta dibakar