Diego Llorente.
LONDON – Pendatang baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United bakal mengukuhkan jentera pertahanan kelab tersebut apabila semakin hampir untuk membawa masuk pemain Real Sociedad, Diego Llorente.

Selepas mengharungi dua perlawanan liga, kelemahan di barisan pertahanan jelas terserlah apabila Leeds United telah dibolosi sebanyak tujuh gol susulan tunduk 3-4 di tangan Liverpool manakala menang 4-3 bertemu Fulham.

Juster, kehadiran Llorente yang pernah membuat lima penampilan bersama skuad kebangsaan Sepanyol amat ditagih Marcelo Bielsa dalam memantapkan posisi tersebut.

Kedua-dua kelab dilaporkan telah mencapai persetujuan bersama untuk melengkapkan kehadiran pemain berusia 27 tahun itu ke Elland Road dan perpindahan tersebut dilaporkan bernilai €25 juta.

”Real Sociedad dan Leeds United telah mencapai persetujuan secara dasarnya untuk perpindahan melibatkan Diego Llorente ke kelab England itu.

”Perjanjian terakhir tertakluk kepada pemeriksaan perubatan pemain tersebut,” menurut kenyataan di laman web Real Sociedad.

Llorente merupakan pemain kedua dari Sepanyol yang direkrut oleh Bielsa bagi menghadapi kempen EPL 2020/21 selepas beliau turut membawa masuk Rodrigo Moreno dari Valencia pada Ogos lalu.

Leeds United akan berkunjung ke Bramall Lane pada hujung minggu ini untuk menghadapi cabaran Sheffield United bagi aksi ketiga saingan EPL musim ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast